Input your search keywords and press Enter.

Ingkar SOP : Enam Premis Perniagaan Diarah Tutup

Antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak menyediakan alat pemeriksaan suhu, pensanitasi tangan dan mencatat nama pelanggan.

M Update, 2/12/2020 – Enam premis perniagaan di bandar ini diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan sepanjang bulan lalu.

Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, penutupan premis itu dilaksanakan berkuatkuasa antara tiga hingga 14 hari.


Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak menyediakan alat pemeriksaan suhu, pensanitasi tangan dan mencatat nama pelanggan.

“Dalam kes ini, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas untuk memastikan pemilik premis perniagaan di daerah ini mematuhi SOP yang ditetapkan dalam menyekat penularan COVID-19.

“Sepanjang bulan lalu, sebanyak 69 premis diperiksa dan daripada jumlah itu enam premis yang mengendalikan masakan panas, lauk dan minuman diarah ditutup kerana hanya merekodkan dua daripada lima bintang.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan menentukan tempoh penutupan antara tiga hingga 14 hari berdasarkan sistem penarafan bintang yang baharu diperkenalkan,” katanya.

Abd Rahim berkata demikian selepas menyampaikan sijil penarafaan bintang kepada dua premis perniagaan yang memperoleh lima bintang di sini, semalam.

Beliau berkata, sistem penarafan bintang itu dilaksanakan untuk memberikan lebih keyakinan kepada masyarakat bahawa premis yang menerima sijil daripada MPK mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pelaksanaan sistem ini akan diperluaskan ke kawasan luar bandar untuk memastikan semua peniaga mematuhi SOP ditetapkan.

“Penarafan ini bukan sahaja di premis makanan, malah stesen minyak, hotel, pasar raya dan kedai serbaneka yang dilakukan pemantauan.

“Kerajaan negeri akan memperkenalkan sistem penarafan bintang ini di seluruh PBT di Pahang,” katanya.