Input your search keywords and press Enter.

PM Lancarkan Portal Pendaftaran & Pelesenan Perniagaan Setempat (MalaysiaBiz)

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

M Update, 7/12/2020 – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat (MalaysiaBiz) yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi memudahkan usahawan setempat.

Perdana Menteri berkata, portal berkenaan dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SME Corp Malaysia.

Katanya, pendekatan itu diambil kerana kerajaan menyedari kepentingan platform digital dalam bidang perniagaan dan sumbangan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kepada ekonomi negara.

“MalaysiaBiz akan menjadi pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat dan secara tidak langsung menyokong agenda kerajaan digital.

“Portal ini berfungsi sebagai pusat sehenti bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen dalam talian secara berkesan.

“MalaysiaBiz bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

“Saya yakin objektif portal ini akan dapat tercapai dan sekali gus mendukung agenda kerajaan digital. Insya-Allah,” katanya ketika melancarkan portal (MalaysiaBiz) secara dalam talian, hari ini.

Ucapan perasmian beliau disiarkan secara maya melalui Facebook.

Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil pendekatan inklusif dalam menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat mendepani kesan pandemik COVID-19.

Katanya, pendekatan diambil termasuk usaha memperkasa agenda pendigitalan yang tersenarai sebagai antara teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

“Proses digitalisasi akan terus dipergiat dengan penumpuan terhadap pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19.

“Antaranya, kerajaan meletak sasaran 40 peratus pendigitalan penyampaian perkhidmatan end-to-end iaitu E2E sepenuhnya menjelang akhir tahun ini berbanding 20.2 peratus tahun lalu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sasaran peningkatan penyampaian perkhidmatan E2E juga diperkasakan dengan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikannya.

Katanya, ia bertujuan memastikan pembangunan ekonomi digital yang mampan untuk manfaat semua seiring dengan teknologi 4IR di negara ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan penyediaan peluang pekerjaan.

Tahun lalu, katanya, PKS menyumbang 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 38.3 peratus pada 2018, manakala 45 peratus daripada KDNK disasarkan menjelang 2025 dan 50 peratus pada 2030.

“Justeru, langkah menjana pertumbuhan PKS akan terus diberi keutamaan seiring trend pembelian dalam talian hari ini yang menunjukkan potensi PKS untuk berkembang pesat.

“Dengan itu, proses pendigitalan dalam kalangan peniaga dapat dipermudahkan,” katanya.