Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Harap Brunei Dapat Pertimbang Cadangan Wujudkan Laluan Hijau Timbal Balik

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Datuk Paduka Alaihuddin Mohd Taha di pejabatnya di Parlimen semalam.

M Update, 8/12/2020 – Malaysia berharap Brunei dapat mempertimbangkan cadangan mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik dalam usaha menghidupkan semula sektor ekonomi kedua-dua negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Perkara itu disampaikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Datuk Paduka Alaihuddin Mohd Taha di pejabatnya di Parlimen semalam.

Menerusi catatan di akaun Facebooknya, Muhyiddin memaklumkan ia merupakan kunjungan perpisahan Alaihuddin yang akan menamatkan perkhidmatannya hujung bulan ini.

Selain itu, katanya dalam pertemuan itu, turut dibincangkan ialah usaha untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek termasuk cabaran yang perlu dilalui akibat pandemik COVID-19.

“Sebagai negara berjiran, kami sependapat Malaysia dan Brunei tidak harus menjadikan pandemik itu sebagai halangan dalam usaha meningkatkan lagi kerjasama yang ada,” menurut catatan itu.

Muhyiddin turut menyatakan rasa berbesar hati menerima jemputan rasmi Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah untuk mengadakan lawatan rasmi ke Brunei.

“Saya nyatakan hasrat untuk melakukannya (lawatan) pada suku pertama tahun hadapan, bersekali dengan Rundingan Pemimpin Tahunan kali ke-23,” katanya.

Pada pertemuan sama, Muhyiddin juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Alaihuddin atas khidmat, sumbangan dan persahabatan yang ditawarkan sepanjang enam tahun perkhidmatan beliau di Malaysia.