Input your search keywords and press Enter.

Wajib Lakukan Saringan COVID-19 Di Pintu Masuk Labuan

M Update, 9/12/2020 – Pelawat dari bahagian lain negara yang memasuki Labuan perlu menjalani saringan Covid-19 mandatori sebaik tiba di pintu masuk, sama ada melalui terminal feri atau Lapangan Terbang Labuan.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari, saringan (analisis risiko oleh petugas kesihatan) itu adalah untuk mengenal pasti simptom dan sejarah perjalanan (melalui aplikasi MySejahtera) yang juga sebahagian daripada usaha jabatan untuk membendung penularan jangkitan.

Dr Ismuni berkata, pengembara yang mempunyai gejala akan menerima perintah kuarantin (Lampiran 14) dan mereka yang tidak mempunyai gejala tetapi dari zon merah dikehendaki menjalani kuarantin kendiri.

“Pelawat dari bahagian lain – Semenanjung, Sabah dan Sarawak – perlu membuktikan keputusan negatif Covid-19 tiga hari sebelum tiba ke sini.

“Mereka yang telah menjalani ujian polymerase chain reaction (PCR) Covid-19 dan belum memperoleh keputusannya, harus menunjukkan resit ujian sebagai bukti. Tidak perlu jalani ujian berulang, tetapi pegawai kesihatan kami (di pintu masuk) akan memberi mereka gelang untuk kuarantin kendiri sehingga keputusan ujian diperoleh,” katanya semalam.

Dr Ismuni berkata, saringan itu masih dijalankan di pintu masuk kerana Labuan mempunyai 53 kes aktif, dengan empat pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Labuan.

Katanya, pelawat dari Labuan yang melawat Sabah, Sarawak dan Semenanjung melebihi tiga hari, perlu menjalani ujian Covid-19 semula, sebaik tiba di pintu masuk Labuan.

“Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PPKP) tidak bermaksud Labuan bebas daripada jangkitan, tetapi kes adalah stabil ke arah sifar,” katanya.

Beliau berkata, kes positif dikesan hampir setiap hari di terminal feri.

“Rakyat khususnya komuniti perniagaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan perniagaan. Sekiranya berlaku lonjakan kes Covid-19, kemungkinan Labuan sekali lagi diletakkan di bawah sekatan pergerakan,” katanya.