Input your search keywords and press Enter.

40 Bayi Bertuah, Bakal Terima RM150 Akaun SSPN-i

Seramai 40 bayi bertuah yang lahir di Melaka, sempena pembentangan Belanjawan Melaka 2021, semalam bakal menerima hadiah daripada kerajaan negeri.

M Update, 10/12/2020 – Seramai 40 bayi bertuah yang lahir di Melaka, sempena pembentangan Belanjawan Melaka 2021, semalam bakal menerima hadiah daripada kerajaan negeri.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, semua bayi berkenaan layak menerima pembiayaan RM150 melalui akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) seperti diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, semalam.


“Berdasarkan maklumat diberikan pihak hospital kerajaan dan swasta di negeri ini, bermula jam 12.01 tengah kelmarin sehingga jam 11.59 malam tadi, seramai 40 bayi dilahirkan.

“Daripada jumlah itu, seramai 31 bayi dilahirkan di Hospital Melaka, diikuti Hospital Oriental Melaka Straits (3) Hospital Pakar Putra (2) dan masing-masing seorang di Hospital Kem Terendak, Hospital Pantai Ayer Keroh dan Pusat Perubatan Mahkota,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 di Seri Negeri, hari ini.

Sulaiman ketika pembentangan Belanjawan Melaka 2021 semalam, mengumumkan semua ibu yang melahirkan bayi bermula dari jam 12.01 tengah malam kelmarin sehingga 11.59 tengah malam tadi di Melaka, dipilih untuk menerima pemberian khas berkenaan.

Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Ketiga DUN Melaka. 

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan Datuk Tey Kok Kiew (DAP- Banda Hilir) mengenai jumlah kes denggi di Melaka, Rahmad berkata, kes demam denggi di Melaka menunjukkan peningkatan 34.85 peratus atau 2,720 kes sehingga 5 Disember lalu berbanding 2,017 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak lapan kes kematian demam denggi direkodkan dengan empat kes berlaku di daerah Melaka Tengah membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Kota Laksamana, Duyong dan Telok Mas, sementara masing-masing dua kes di daerah Alor Gajah dan Jasin.

“Minggu ini, ada peningkatan 16 kes denggi di Melaka dan sangat membimbangkan.

“Kerjasama semua pihak untuk menjaga kebersihan amat diharapkan demi memastikan kehidupan rakyat sentiasa harmoni dan selamat,” katanya.

Sebanyak 43 kes chikungunya turut dilaporkan di negeri ini dengan 39 kes daripadanya berlaku di Melaka Tengah dan masing-masing dua kes di Jasin dan Alor Gajah, manakala virus zika belum ada kes dilaporkan setakat ini.