Input your search keywords and press Enter.

Patuhi SOP, Elak Kluster Baharu – Dr Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

M Update, 10/12/2020 – Berikutan semakin banyak kluster terbentuk daripada perhimpunan sosial kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri sebarang jenis perhimpunan atau semasa berada di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebooknya, hari ini berkata ia termasuklah perhimpunan besar-besaran yang melibatkan kaum keluarga seperti majlis keraian dan upacara keagamaan yang turut dihadiri individu yang bergejala.

Beliau memberi contoh Kluster Enggor di Perak serta Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya merebak dalam komuniti.

Tambah Dr Noor Hisham Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian manakala Kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bermula daripada upacara keagamaan yang membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.

“Orang ramai diminta supaya mematuhi SOP dalam semua keadaan dan di semua tempat memandangkan aktiviti perhimpunan yang dianjurkan tanpa pematuhan akan meningkatkan risiko penularan COVID-19 kepada orang ramai.

“Adalah amat penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling kita daripada mendapat jangkitan COVID-19. Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa,” katanya.

Beliau berkata penjarakan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan yang sesak dan sempit, namun mengambil iktibar daripada kejadian kluster ini, masyarakat dinasihatkan untuk akur dan patuh kepada nasihat yang diberikan.