Input your search keywords and press Enter.

Punca Kematian Arwah Adib Bakal Terjawab

Arwah Muhammad Adib Mohd Kassim.

M Update, 15/12/2020 – Hasil siasatan terhadap penyebab kematian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata siasatan polis kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kedudukan sama ada (wujud) penyebab sehingga berlaku kematian Adib, tidak lama lagi akan kita maklumkan kepada semua,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab isu yang dibangkitkan RSN Rayer (PH-Bukit Jelutong) yang bertanyakan tempoh selesai siasatan kematian Muhammad Adib.

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, di Institut Jantung Negara susulan kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan satu inkues diadakan semula berhubung kes kematian Muhammad Adib berikutan terdapat saksi baharu yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba dan penyelamat itu.