Input your search keywords and press Enter.

Sabah Perlukan Infrastruktur Internet Terbaik Bantu Peniaga Kecil

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Masidi Manjun.

M Update, 17/12/2020 – Sabah memerlukan infrastruktur Internet yang baik dalam usaha membantu menghidupkan semula peniaga kecil yang terjejas akibat penularan COVID-19, kata  Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap rasmi COVID-19 Kerajaan Negeri Sabah itu berkata ini kerana cara pemasaran dan pembelian dalam talian telah menjadi antara norma baharu dalam kehidupan harian seterusnya pilihan penting bagi usahawan serta peniaga kecil untuk maju pasca COVID-19.

“Menjadi hasrat kerajaan untuk mempercepatkan inisiatif transformasi digital di Sabah termasuklah dalam kalangan usahawan dan peniaga kecil bukan sahaja pelancongan tetapi semua sektor… saya yakin peniaga kita sedia maklum kaedah baharu pemasaran ini dan ada yang sudah mula menggunakannya. 

“Tetapi yang lebih penting capaian Internet di semua tempat ini perlu ada, infrastruktur itu perlu ada baru kita boleh jalankan kaedah baharu pemasaran dan jualan dalam talian,” katanya pada sidang media COVID-19 kerajaan negeri di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai laporan Bernama hari ini yang menyatakan bahawa peniaga kecil di kawasan tarikan pelancong Jalan Sulaman, Tuaran berdepan kesukaran apabila kawasan yang dahulunya meriah dengan kehadiran pelancong kini sepi akibat penularan COVID-19.

Pada 3 Dis lepas, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dilaporkan berkata Sabah berdepan masalah liputan telekomunikasi digital yang agak ketinggalan dan pelbagai langkah mengatasinya diatur terutama melalui Jaringan Digital Nasional (JENDELA) antaranya menambah menara telekomunikasi serta meningkatkan kelajuan Internet.

Masidi berkata kerajaan sememangnya menyedari akan kesulitan yang dihadapi oleh peniaga kecil dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan di negeri itu akibat pandemik COVID-19 dan telah melaksanakan langkah segera membantu mereka yang terlibat.

“Kerajaan Negeri telah meluluskan Bantuan Sabah Prihatin COVID-19 untuk membantu meringankan beban peniaga-peniaga kecil antaranya bantuan sekali bayar RM300 seorang kepada penjaja yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“(Antara lain ialah) Pengecualian bayaran lesen penjaja PBT untuk tahun ini dan tahun depan dan pengecualian bayaran sewa gerai penjaja PBT dari April hingga Disember tahun ini,” katanya.

Sementara itu, sempena musim perayaan Krismas yang akan disambut minggu depan, Masidi berkata rakyat diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah COVID-19 ketika perayaan tersebut terutama ketika mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung.

“Kita kena selalu ingat COVID-19 masih berada dalam persekitaran jadi kita laksanakan penjarakan sosial, pakai pelitup muka dan patuhi SOP, jangan pula ketika musim perayaan kita gembira 15 minit tetapi sengsara 15 hari,” katanya.