Input your search keywords and press Enter.

Banjir Di Kelantan & Terengganu Semakin Pulih

M Update, 24/12/2020 – Selepas Terengganu pulih sepenuhnya daripada banjir tengah hari tadi, keadaan di negeri jiran, Kelantan juga bertambah baik dengan bilangan mangsa banjir terus berkurangan.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan semakin menyusut dengan hanya 576 orang daripada 218 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas setakat 5 petang ini berbanding 828 mangsa pada sebelah pagi semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir tertinggi ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang (2) iaitu 201 orang daripada 58 keluarga, diiikuti SK Kedai Tanjong (110), SK Tok Deh (100),SK Bakong (85) dan SK Kubang Kual (80).

Berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas kekal mencatatkan bacaan melepasi tahap bahaya iaitu 9.65 meter (m) (bahaya 9 m), manakala Sungai Golok di Kampung Jambu, Tumpat merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 2.48 m (amaran 2.15 m).

Sementara itu, Terengganu hari ini pulih sepenuhnya daripada banjir apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Dungun ditutup secara rasmi pada 1 tengah hari semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata kesemua 114 mangsa daripada 34 keluarga di dua PPS itu dibenarkan pulang setelah rumah mereka didapati selamat untuk diduduki.