Input your search keywords and press Enter.

APMM Berjaya Patahkan Cubaan Seludup Ganja Bernilai RM1.5 Juta

M Update, 28/12/2020 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis, mematahkan cubaan menyeludup ketulan ganja mampat seberat 300 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.5 juta, dalam satu Op Khas di perairan Kuala Perlis di sini pada 25 Dis lepas.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim APMM Kedah dan Perlis Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, dalam serbuan kira-kira 3 pagi (25 Dis) sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan di perairan negeri ini, pada jarak 0.4 batu nautika (kira-kira 600 meter dari pantai) dari barat pantai Sungai Padang dekat sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 11 bungkusan guni yang mencurigakan di dalam tempat penyimpanan ikan. Pemeriksaan lanjut menemukan ketulan mampat berbentuk kotak dibalut kemas dengan plastik putih disyaki ganja mampat, yang dibawa masuk dari negara jiran.

“Bot dan barang rampasan dibawa balik dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM1.53 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurut Zulinda meskipun tiada tangkapan suspek berjaya dibuat, namun pihaknya percaya suspek adalah merupakan rakyat lelaki dari selatan Thailand yang berjaya memboloskan diri dari ditangkap APMM.

Beliau berkata tekong (suspek) bertindak menukar haluan setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa lalu terjun dan meninggalkan bot, sebelum berenang ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.

“Kita percaya penyeludupan ganja ini adalah untuk pasaran sekitar utara Semenanjung Malaysia,” katanya.

Zulinda berkata ini adalah merupakan rampasan kedua terbesar selepas rampasan ganja jumlah yang sama pada 15 Nov lepas, dan sehingga hari ini hasil rampasan yang berjaya dibuat oleh APMM melibatkan dadah dan ketum dianggarkan bernilai RM31 juta.

Katanya ini adalah merupakan hasil risikan dan intipan yang dilakukan selama beberapa minggu, sebagai usaha mematahkan sindiket penyeludupan dadah di perairan negara.