Input your search keywords and press Enter.

Adik Nur Dhuha Perlukan Sumbangan, Biayai Kos Pembedahan Segera

Dr Abd Razak memeriksa kaki Nur Dhuha Sofia sambil diperhatikan oleh Siti Salwa.

M Update, 29/12/2020 – Seorang kanak-kanak perempuan yang menderitai penyakit ‘osteogenesis imperfecta’ atau tulang rapuh, memerlukan sumbangan untuk membiayai kos pembedahan segera dianggarkan RM80,000.

Suri rumah, Siti Salwa Abdul Wahab, 27, berkata anaknya, Nur Dhuha Sofia Mohammad Farid, 2, disahkan menghidap penyakit itu sejak lahir.

Justeru, beliau berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu perlu menjalani pembedahan secepat mungkin di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

“Nur Dhuha Sofia pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama hampir sebulan ketika berusia lapan bulan kerana patah tulang paha kanan.

“Malah tahun ini saja, dia sudah dimasukkan ke hospital sebanyak tiga kali,” katanya melalui sidang video, hari ini.

Pakar tulang kanak-kanak di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Abd Razak Muhamad, berkata secara umum penyakit tulang rapuh berlaku satu dalam setiap 100,000 kelahiran.

“Disebabkan kedua-dua tulang paha Nur Dhuha Sofia patah dan membengkok, kami menyarankan prosedur ‘telescopic nails’ dilakukan.

“Jika Nur Dhuha Sofia tidak menjalani pembedahan, tumbesaran kakinya akan terbantut dan dia tidak boleh berjalan kerana kaki tidak seimbang.

“Melalui pembedahan nanti, kami akan melakukan potongan di beberapa bahagian tulang dan memasukkan implan,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu turut diberikan ubat sejak setahun lalu bagi membantu menguatkan tulangnya.

Katanya, Nur Dhuha Sofia perlu menjalani rawatan ulangan dan berterusan hingga umur 17 atau 18 tahun kerana walaupun pembedahan itu berjaya nanti, risiko mengalami tulang patah masih ada.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.

Bagi sumbangan menggunakan cek pula, tulis nama pesakit di belakang cek berkenaan dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.