Input your search keywords and press Enter.

Sultan Johor Murka Sikap Segelintir Rakyat, Abai Tentang Kebersihan

Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga ada tempat awam dipenuhi sampah sarap. – Foto Ihsan FB Sultan Ibrahim Iskandar

M Update, 29/12/2020 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga ada tempat awam dipenuhi sampah sarap.

Melalui hantaran dalam akaun Facebook rasmi baginda, hari ini, Sultan Ibrahim bertitah, Mersing adalah sebuah daerah pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, selain kaya dengan keindahan alam semula jadi.

Justeru sekiranya tabiat mengabaikan kebersihan itu berterusan, baginda bertitah, ia akan memberi kesan negatif, termasuk kepada aspek kesihatan awam.

“Saya amat sedih dengan apa yang saya lihat di beberapa kawasan yang ditinjau. Apa nak jadi dengan Mersing?

“Sepatutnya tempat pelancongan tetapi apabila pelancong sampai, disambut sampah.

“Tidak malukah kita jika menjemput orang ke rumah sendiri tetapi keadaannya tidak sedap mata memandang? Ubahlah perangai dan buang sikap pengotor,” titah baginda.

Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga ada tempat awam dipenuhi sampah sarap. – Foto Ihsan FB Sultan Ibrahim Iskandar

Sultan Ibrahim bertitah, Mersing perlu mencontohi daerah Muar apabila Bandar Maharani itu dinobatkan sebagai Bandar Pelancongan Terbersih ASEAN pada 2018.

“Mersing mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan dalam sektor eko-pelancongan, dan ia juga pintu utama untuk ke pulau pelancongan sekitar.

“Saya ada pelbagai idea untuk menarik pelaburan dan kemajuan untuk sektor di Mersing, tetapi rakyat juga perlu memainkan peranan menjaga kebersihan di sini. Tidak ada orang yang nak berkunjung ke tempat yang kotor,” titah baginda.

Sultan Ibrahim sekali gus mahu pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan kompaun secara efektif supaya rakyat lebih berdisiplin.