Input your search keywords and press Enter.

Azhar, Azalina Kekal Sebagai Speaker, Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Datuk Azhar Azizan Harun (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

M Update, 30/12/2020 – Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Azalina Othman Said masing-masing kekal sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa pelantikan mereka adalah sah.

Ia susulan keputusan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang membenarkan permohonan Azhar, Azalina dan dua yang lain untuk membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi individu untuk mencabar kesahihan pelantikan mereka.

Ahmad Kamal berkata setelah meneliti hujahan lisan dan bertulis daripada kedua-dua plaintif dan defendan, beliau mendapati bahawa pelantikan Azhar dan Azalina adalah sah dan tidak boleh diadili atau dihakimi oleh mahkamah.

“Permohonan defendan pertama (Azhar), kedua (Azalina), ketiga (Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon) dan keempat (Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin) untuk membatalkan saman pemula dibenarkan.

“Berikutan keputusan itu mahkamah tidak menetapkan sebarang kos selepas berpuas hati isu yang dibangkitkan itu adalah melibatkan kepentingan awam,” katanya.