Input your search keywords and press Enter.

Sektor Awam & Swasta Mainkan Peranan Penting, Perkasa Zon Pelaburan Pelancongan

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

M Update, 30/12/2020 – Kerjasama sektor awam dan swasta memainkan peranan penting, dalam memperkasakan zon pelaburan pelancongan kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata libat urus antara kerajaan Persekutuan, negeri dan penggiat pelancongan, dapat memastikan lokasi pelancongan tumpuan di sesebuah negeri diperluaskan secara global dan memberikan impak besar kepada ekonomi negara, setelah sempadan dibuka semula nanti.

“Kerjasama itu dapat membantu negeri mempromosi destinasi pelancongan masing-masing dengan lebih meluas, terutamanya bagi lokasi pelancongan yang lengkap dengan pusat membeli-belah, taman tema, pusat kebudayaan,” katanya dalam Program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

Nancy berkata MOTAC juga merupakan koordinator sekiranya penggiat pelancongan memerlukan bantuan dalam aspek kewangan dan imigresen, yang memerlukan rundingan dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata kementerian juga akan membantu penggerak industri pelancongan memohon pengecualian cukai pendapatan dan korporat.

Dalam pada itu Nancy berkata pembangunan industri pelancongan berasaskan teknologi digital juga penting, bagi memastikan objektif DPN 2020-2030 ini dapat dicapai.

“Produk pelancongan yang unik perlu dipromosikan secara digital, kerana melalui platform itu dapat memberikan impak meluas kepada pelancong luar terutamanya setelah sempadan dibuka nanti,” katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan zon pelaburan untuk projek pelancongan diwujudkan bagi meningkatkan kerjasama awam-swasta, serta menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa.

Ia merupakan antara usaha yang akan dilaksanakan menerusi Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030.