Input your search keywords and press Enter.

PERKESO Sediakan 1 Juta Kit Ujian Saringan COVID-19

M Update, 31/12/2020 – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan hampir satu juta kit ujian RTK-Antigen untuk pekerja asing menjalani ujian saringan COVID-19.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed, berkata kit ujian itu diagihkan secara percuma kepada klinik yang menyertai Program Saringan COVID-19 bagi Pekerja Asing, bermula secara berperingkat sejak 1 Disember lalu.

“PERKESO membeli hampir satu juta kit ujian RTK-Antigen dan jumlah itu amat mencukupi bagi menampung bilangan pekerja asing yang mencarum dengan PERKESO di enam negeri diumumkan oleh kerajaan iaitu Wilayah Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Labuan.

“Meskipun PERKESO menyediakan kit ujian, kos perkhidmatan saringan adalah bergantung kepada klinik masing-masing. Maklum balas yang diterima daripada kumpulan perubatan serta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menunjukkan kos ujian saringan kini berkurangan hampir separuh berbanding sebelum ini.

“Majikan bagaimanapun berhak memilih untuk menghantar pekerja masing-masing di mana-mana klinik. Dalam pada itu, PERKESO sentiasa mengalu-alukan sebarang pandangan atau pendekatan dalam memudahkan proses saringan selain memastikan kos perkhidmatan adalah berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohamed Azman berkata, sebanyak 750 klinik di enam negeri berkenaan menyertai program terbabit setakat ini dengan sejumlah 74,482 ujian saringan dikendalikan, membabitkan 2,601 majikan.

Katanya, angka itu bagaimanapun menunjukkan hanya kira-kira 8.5 peratus pekerja asing di kawasan sasaran sudah menjalani saringan COVID-19.

“PERKESO amat menghargai majikan yang mengambil inisiatif awal dengan menghantar pekerja mereka menjalani ujian saringan dan tidak menunggu pada saat akhir untuk berbuat demikian.

“Sebanyak 311,837 kit saringan RTK-Antigen sudah diedarkan kepada klinik berdasarkan permintaan dan keperluan. Jumlah itu jauh lebih besar berbanding bilangan pekerja asing yang sudah menjalani ujian saringan,” katanya.

Beliau berkata, arahan kerajaan mewajibkan semua majikan melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas pekerja asing bermula esok seharusnya dilihat sebagai langkah pencegahan untuk mengekang peningkatan jumlah kes dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi iaitu pekerja asing.

“Langkah pencegahan COVID-19 membabitkan kerjasama pelbagai pihak. Selain PERKESO, aktiviti penguatkuasaan yang akan bermula pada 1 Januari ini akan diterajui oleh Jabatan Tenaga Kerja dengan pembabitan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan.

“Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), PERKESO berpendapat bahawa prinsip kepada pengurusan penyakit di tempat kerja sentiasa membabitkan tiga pihak dan seperti mana peranan kerajaan, majikan juga memainkan peranan penting,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan semua majikan wajib memastikan pekerja asing yang digaji mereka menjalani ujian saringan COVID-19 bermula esok bagi menangani penularan pandemik itu.

Keputusan itu diumumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang memaklumkan kos bagi ujian saringan itu akan ditanggung oleh majikan.

Bagaimanapun, bagi pekerja asing yang mencarum dengan PERKESO, ujian saringan boleh dibuat di klinik yang dilantik oleh agensi itu.