Input your search keywords and press Enter.

Fenomena Musim Tengkujuh Dijangka Hingga Mac

Fenomena Monsun Timur Laut yang kini sedang melanda beberapa buah negeri dijangka berterusan sehingga akhir Mac ini dengan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku.

M Update, 04/01/2021 – Fenomena Monsun Timur Laut yang kini sedang melanda beberapa buah negeri dijangka berterusan sehingga akhir Mac ini dengan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, fenomena itu yang turut dikenali sebagai musim tengkujuh boleh mencecah suhu harian terendah sekitar 21 hingga 22 darjah Celcius seperti yang direkodkan di Terengganu, Pahang dan Johor.

Menurut kenyataan itu lagi, amaran cuaca peringkat buruk ketika ini adalah disebabkan pertembungan luruan sejuk dari Tanah Besar China dan angin timuran dari Lautan Pasifik Barat yang panas dan lembap.

“Kedudukan garis palung monsun yang merentasi Semenanjung juga menyumbang kepada pembentukan kelompok awan hujan besar yang aktif,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang, berkata fenomena hujan lebat yang berlaku di Pahang dan Johor ketika ini adalah akibat tiupan angin luluran sejuk dari kawasan bertekanan tinggi di Siberia.

Jelasnya, dalam masa yang sama palung monsun pada iaitu bulan Januari berada di selatan di sekitar Laut Jawa, menyebabkan tiupan angin dan penumpuan kelembapan ke arah selatan Semenanjung berbanding di Kelantan dan Terengganu.

“Ketika ini juga La Nina sederhana masih berlaku dan menurut kajian dilakukan kami, apabila fenomena La Nina kategori sederhana berlaku, hujan lebat pada bulan Disember dan Januari bertumpu di selatan Semenanjung.

“Ditambah pula dengan kewujudan fenomena Ayunan Madden-Julian pada ketika ini juga meningkatkan kepada penumpuan kelembapan dan penurunan hujan serta peredaran Pusar Borneo yang berada dalam kedudukan mengukuhkan penumpuan kelembapan di bahagian selatan Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata, keadaan banjir yang berlaku juga berkemungkinan berulang kembali, bergantung kepada angin luluran sejuk dan ramalan daripada MET Malaysia.

“Justeru, semua orang perlu berhati-hati terutama di kawasan selatan Semenanjung, sentiasa mendapatkan maklumat tepat dari pihak berkuasa,” katanya.