Input your search keywords and press Enter.

Jangan Tular Gambar & Video Lama Kejadian Banjir Besar

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah

M Update, 04/01/2021 – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan atau berkongsi gambar mahupun video lama kejadian banjir besar, ketika beberapa negeri kini, dilanda musim tengkujuh.

Beliau berkata tindakan menularkan gambar atau video lama seperti kejadian banjir besar pada 2014 boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan masyarakat terutamanya kepada anggota keluarga yang berada jauh dari kampung halaman.

“Saya berharap mereka dapat memeriksa kesahihan video atau gambar yang tersebar di media sosial sebelum berkongsi dengan orang lain. Menularkan kembali video atau gambar lama pada situasi ini juga boleh dianggap sebagai berita palsu.

“Walaupun tindakan boleh diambil kerana menyebar berita palsu, namun kita harap masyarakat lebih bertanggungjawab kerana pada masa begini, pihak berkuasa seperti polis mempunyai banyak tugas yang lebih utama untuk dilakukan,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada Bernama selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung di sini hari ini, yang menempatkan 20 keluarga dari tiga kampung iaitu Kampung Bugis, Kampung Pelindung Pantai dan Kampung Pasir Garam. 

Orang ramai, menurut Saifuddin boleh menyemak kesahihan maklumat yang diterima mereka menerusi media sosial rasmi pihak berwajib yang sentiasa berusaha memuat naik maklumat yang tepat dan secara ‘real time’ (masa sebenar).

“Untuk perkembangan banjir, orang ramai boleh membuat semakan di bilik gerakan banjir atau balai polis manakala untuk pengguna jalan raya, Twitter dan Facebook pemegang konsesi sentiasa dikemaskini atau boleh terus menghubungi talian hotline (utama) mereka,” katanya. 

Selain itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memantau sistem telekomunikasi sepanjang musim banjir kerana ia menjadi medium perantaraan paling utama ketika musim tengkujuh.

Mengulas mengenai situasi banjir di Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin berkata setakat ini lebih 2,000 mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS sejak semalam ekoran banjir yang melanda selepas hujan lebat berterusan.

“Saya berharap mereka bersabar dan menunggu banjir benar-benar pulih sebelum pulang ke rumah, kerana kita bimbang dalam keadaan banjir, mungkin ada longkang, lubang besar atau benda tajam yang tidak kelihatan dan boleh membahayakan diri,” katanya. 

Saifuddin berharap badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghantar bantuan agar menghubungi bilik gerakan banjir daerah kerana mereka tidak digalakkan pergi terus ke PPS dalam situasi pandemik COVID-19  yang masih menular ketika ini.