Input your search keywords and press Enter.

Mangsa Banjir : Md Rajihan Masih Belum Ditemui

M Update, 04/01/2021 – Pasukan mencari dan menyelamat tidak menemui Md Rajihan Junaidi, 28, yang dilaporkan hanyut bersama-sama kereta, walaupun kenderaannya dinaikkan dari kawasan banjir petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Penguasa Bomba Akob Sedek berkata, hanya kereta yang ditemui dan operasi ditangguhkan petang semalam.

Katanya, operasi bermula jam 10.30 pagi semalam membabitkan 12 anggota menarik keluar kereta menggunakan teknik ‘surface searching’ di kawasan kedalaman parit kira-kira 4.5 meter, iaitu 100 meter dari tempat terakhir kereta dilihat.

Katanya, pencarian yang menggunakan peralatan ‘gripping iron’ atau besi bermagnet untuk mengesan lokasi kereta mangsa.

“Kereta berkenaan berjaya dinaikkan pada jam kira-kira 6.10 petang oleh polis, namun mangsa tidak ditemui di dalam kereta berkenaan.

“Kereta kemudiannya ditunda ke Balai Polis Kahang untuk tindakan lanjut,” katanya melalui kenyataan semalam.

Akob berkata, operasi ditangguhkan jam 6.30 petang semalam.

Dalam kejadian petang kelmarin, Md Rajihan memecahkan cermin kereta untuk mengeluarkan isterinya Khairunnisa Ibrahim, 24, sebelum dia hanyut bersama kereta ketika meredah lintasan air di Batu 18 Jalan Kluang – Kahang.