Input your search keywords and press Enter.

Mangsa Banjir : Ragut Nyawa Pertama, Bapa Lemas Anak Hilang Di Pahang

Tinjauan semalam mendapati sebahagian penduduk terkandas dan tidak dapat keluar dari kawasan Felda Sungai Retang, Jerantut akibat banjir kerana hujan lebat tanpa henti petang kelmarin. 

M Update, 04/01/2021 – Banjir di Pahang meragut nyawa pertama apabila seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut lemas, manakala seorang anaknya hilang dibawa arus ketika meredah banjir di Kampung Gintong, kira-kira 100 kilometer dari sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, berkata mangsa Zulkarnain Hitam, 58, ditemukan lemas sekitar 10.30 malam, dipercayai akibat dihanyutkan arus deras ketika berjalan kaki pulang ke rumah bersama tiga anak lelakinya selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.

Dalam kejadian itu seorang daripada anak lelakinya Ukai Iskandar, 23, yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang di sini, turut hilang dan sehingga pagi ini masih belum ditemukan.

“Kesemua mereka difahamkan berjalan kaki dari Kampung Gintong untuk pulang ke rumah di Taman Perdana yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi tempat Iskandar meletak kenderaan semasa kejadian berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mazlan berkata dua lagi anak mangsa yang berusia 15 dan 13 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Operasi mencari Ukai yang dimulakan sekitar 11 malam membabitkan 17 anggota pasukan mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada 3.30 pagi ekoran cuaca yang semakin buruk.

Mazlan juga menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan perkembangan banjir dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang musim banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.