Input your search keywords and press Enter.

Pengarah, Pekerja Syarikat Import Daging Direman 4 Hari

M Update, 04/01/2021 – Seorang pengarah dan tiga pekerja sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku di sini, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Izzaty Muhammad Zahari, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan berkenaan, pagi ini.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi berkata, mereka yang direman berusia antara 39 hingga 50 tahun.

“Empat yang direman berkenaan membabitkan pengarah, pengarah operasi, kerani syarikat sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku serta seorang lagi pengarah syarikat lain.

“Mereka ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya, hari ini.

Azmi berkata, SPRM akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dalam menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan isu kartel daging import.

Katanya, SPRM memandang serius perkara itu yang membabitkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di negara ini.

Media sebelum ini melaporkan isu kartel daging import dipercayai membawa masuk daging yang diragui status halal.