Input your search keywords and press Enter.

Rasuah : Cubaan 2 Lelaki Beri Rasuah Kepada Polis RM2,900 Ditahan

M Update, 04/01/2021 – Dua lelaki yang cuba merasuah polis supaya tidak menahan mereka kerana memiliki dadah ditahan di Jalan Klang Lama di sini, kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 26 dan 32 tahun itu ditahan dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), kira-kira jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata dua anggota URB itu pada mulanya sedang melakukan rondaan sebelum ternampak sebuah kenderaan jenis Honda City dalam keadaan mencurigakan.

“Dua anggota URB mengarahkan kenderaan itu berhenti untuk menjalankan pemeriksaan dan menemui dua balutan rokok mengandungi daun kering dipercayai ganja dalam tempat menyimpan kecil sebelah pemandu seberat 1.9 gram.

“Ketika tangkapan dilakukan, kedua-dua suspek cuba memberi sogokan kepada mereka dengan menawarkan RM400 sebelum meningkatkan jumlah itu kepada RM2,900.

“Kedua-dua anggota URB itu tidak menghiraukan tawaran itu dan terus menangkap suspek sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kesalahan cuba memberi sogokan, suspek disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.