Input your search keywords and press Enter.

Pewujudan FOB Pulau Mabul, Kukuh Keselamatan ESSZone

M Update, 05/01/2021 – Pewujudan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul dekat sini, yang dijangka siap pada tahun 2024 dapat mengukuhkan tahap keselamatan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) daripada diceroboh anasir luar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata pewujudan aset keselamatan itu memberi keyakinan kepada komuniti maritim termasuk pelancong ke Semporna mengenai tahap keselamatan di ESSZone.

“Projek FOB bernilai RM41 juta dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan dari tarikh majlis pecah tanah itu, antara usaha komitmen kerajaan mengukuhkan benteng keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, FOB Mabul itu merupakan projek perintis ESSCom manakala Pasukan Polis Marin dipertanggungjawabkan menjadikan pangkalan operasi itu sebagai markas taktikal dalam mengawal dan memantau tahap keselamatan perairan di daerah Semporna dan kawasan sekitar.

“Projek ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan prihatin yang menyediakan kemudahan logistik dan persekitaran tempat kerja selesa bagi pasukan keselamatan khususnya PPM,” katanya.

Jamaluddin dalam pada itu menyarankan masyarakat ESSZone terus memberi kerjasama terhadap pasukan keselamatan sebagai usaha bersama membanteras kegiatan jenayah termasuk penyeludupan serta penyusupan pendatang haram.

“Penduduk ESSZone perlu membantu pasukan keselamatan dengan menjadi ‘mata dan telinga’ pasukan keselamatan kerana kerjasama anda amat penting dalam membanteras sebarang anasir luar yang cuba mengganggu-gugat kestabilan dan keamanan negeri ini,” katanya.

Jamaluddin semalam melancarkan majlis pecah tanah projek pembinaan FOB di Pulau Mabul, Semporna.