Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 : 149 Pesakit Ditempatkan Di 2 PKRC Di Kelantan

– Foto Hiasan –

M Update, 06/01/2021 – Seramai 149 pesakit COVID-19 di Kelantan telah ditempatkan di dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), setakat ini, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 85 pesakit sedang menjalani kuarantin dan rawatan di Hospital Kuala Krai (Lama), Kuala Krai, manakala 64 individu ditempatkan di Kolej Jururawat Kota Bharu dekat sini.

Mengenai lokasi PKRC di Dewan Jubli Perak di sini, beliau berkata PKRC yang ketiga di Kelantan itu mula beroperasi hari ini bagi menampung keperluan tambahan kemasukan pesakit COVID-19 di setiap hospital kerajaan di negeri berkenaan.

“Pesakit-pesakit positif COVID-19 berisiko rendah berumur bawah 45 tahun, tidak bergejala, tidak ada penyakit kronik adalah kriteria utama kemasukan ke pusat ini. Pusat ini mempunyai kapasiti sebanyak 120 katil yang dibahagikan 60 katil bagi pesakit lelaki dan selebihnya bagi pesakit wanita,” katanya kepada Bernama.

Setakat semalam, sebanyak 42 kes baharu dilapor di Kelantan, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negeri itu sebanyak 976 kes.