Input your search keywords and press Enter.

Segera Pindah, Jangan Buat Ramalan Sendiri – BOMBA

– Foto Hiasan –

M Update, 07/01/2021 – “Sekejap lagi air akan surut, kami sudah lali dengan keadaan banjir.”

Demikian antara alasan sesetengah penduduk apabila pihak anggota penyelamat meminta mereka berpindah lebih awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sikap yang bagaikan membuat ramalan sendiri itu bukan sahaja menyebabkan operasi menyelamat terganggu, malah mangsa yang telah dinasihatkan berpindah pada waktu siang akhirnya meminta pertolongan pada lewat malam atau awal pagi, apabila sukar keluar ke lokasi selamat.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata apabila air melimpah, sukar untuk membezakan kawasan parit atau longkang dan operasi menjadi lebih bahaya dalam keadaan gelap.

“Kita sedar bahawa sesetengah penduduk di sini telah dua kali berpindah (banjir Disember lepas) dan tidak selesa berada di PPS tetapi demi keselamatan adalah lebih baik keluar rumah pada waktu siang. 

“Anggota adakala terpaksa berkunjung dua tiga kali ke rumah yang sama… apabila terperangkap barulah  panik dan minta segera diselamatkan,” katanya kepada Bernama ketika meninjau keadaan banjir di beberapa buah kampung di sini.

Sementara itu, dalam operasi  bermula jam 11 malam hingga 4 pagi tadi seorang wanita yang masih dalam pantang bersama bayi berusia 35 hari berjaya diselamatkan susulan air mulai naik hingga ke paras dada.

Mangsa, Suhana Mat Sohor, 40 berkata, beliau serta 11 ahli keluarga tekad berpindah apabila air semakin deras dan mula masuk ke dalam rumah sejak tengah malam tadi.

”Saya tidak jangka air akan naik secepat ini. Hanya bawa barang dan dokumen penting sahaja…stokin pun tak sempat ambil. Pada 2017 saya pernah berpantang di PPS ketika melahirkan anak keempat, tak sangka kini giliran anak kelima,” katanya yang tinggal di Kampung Tempurung di sini.

Selain Suhana, ibunya Rahmah Sulong, 76, yang mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran serta tidak mampu berjalan turut dibantu pihak bomba awal pagi tadi.

Setakat 10 pagi, daerah Kemaman mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai di Terengganu iaitu seramai 5,368 orang daripada 1,296 di 21 PPS.

Keseluruhan mangsa ialah seramai 6,511 orang daripada 1,623 keluarga di 35 PPS.