Input your search keywords and press Enter.

Banjir : Jangan Ingkar Arahan Berpindah!

Datuk Shafien Mamat (kiri) meninjau keadaan paras air sungai Kelantan di sekitar Tambatan Diraja hari ini.

M Update, 08/01/2021 – Penduduk Kelantan yang terjejas dengan banjir perlu berpindah segera ke pusat pemindahan sementara yang disediakan, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Shafien berkata sikap segelintir penduduk yang berdegil dan enggan berbuat demikian boleh menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku selain menyukarkan pihak berkuasa menjalankan tugas.

“Jangan sampai pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan undang-undang disebabkan kedegilan ini.

“Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang kerana ingkar dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugasan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan banjir di Tambatan D’Raja di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa masih mempertimbangkan untuk tidak berbuat demikian kerana peningkatan kes COVID-19 di Kelantan, selain dilanda bencana alam itu.

Dalam pada itu, Shafien berkata setakat semalam, sebanyak 39 kompaun telah dikeluarkan kepada penduduk Kelantan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan COVID-19.

Menurutnya, antara mereka yang dikenakan kompaun ialah kerana tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal, malah turut berkumpul di kawasan tumpuan banjir seperti di Lembah Sireh dekat sini.

Mengenai statistik kes kematian lemas akibat banjir, Shafien mengesahkan hanya dua kes dilaporkan setakat ini berlaku di jajahan Kuala Krai, pada gelombang ketiga banjir di negeri itu.