Input your search keywords and press Enter.

Banjir : Jemaah Naik Bot Ke Masjid Tunai Solat Jumaat

M Update, 08/01/2021 – Air yang naik mendadak sejak malam tadi menyebabkan kawasan sekitar Masjid Kubang Sawa, di sini, dipenuhi air mencecah hampir satu meter, namun solat Jumaat tetap didirikan dengan jemaah hadir menaiki bot.

Deretan bot yang diletakkan di tepi masjid menjadikan pusat ibadat itu kelihatan seperti pulau, namun penduduk memaklumkan, ia perkara biasa setiap tahun kerana sekeliling masjid itu adalah sawah dan sering dipenuhi air pada musim tengkujuh.

Imam Tua masjid, Mohd Saidi Yunos, berkata limpahan air dari Sungai Golok mula masuk ke kawasan itu sejak pagi semalam sebelum air naik mendadak bermula malam tadi.

“Setiap tahun situasi sebegini berlaku dan jika keadaan semakin teruk, ada dua hingga tiga keluarga akan datang menumpang di masjid ini kerana rumah mereka ditenggelami air,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Saidi berkata, pihak pengurusan tiada masalah menumpangkan mangsa banjir sekitar kampung itu, namun penduduk perlu lebih mengutamakan pusat pemindahan sementara (PPS) kerana ia lebih selesa.

Untuk banjir kali ini, katanya, pengurusan masjid sudah menyediakan sebuah bangunan kelas pengajian al-Quran sebagai tempat penduduk menumpang sementara menunggu air di kediaman masing-masing surut.

“Bagaimanapun kami lebih menggalakkan penduduk berpindah ke PPS yang ditetapkan kerana lebih selesa dan bantuan mudah disalurkan,” katanya.

Penduduk Kampung Kubang Sawa, Kamarudin Abu Bakar, 49, berkata dia sudah menjangka kawasan sekitar masjid itu akan banjir kerana limpahan air dari sungai masih berterusan.

“Saya sudah mengeluarkan bot lebih awal kerana sudah menjangkakan banjir gelombang ketiga dalam masa terdekat berikutan limpahan air dari Rantau Panjang dan Pasir Mas yang turun ke Tumpat.

“Semua jemaah solat Jumaat hari ini datang dengan bot, sama ada menumpang atau milik sendiri kerana majoriti daripada kami memang memiliki bot sendiri yang hanya digunakan setiap kali musim banjir,” katanya.