Input your search keywords and press Enter.

Operasi Banjir : 12,000 PGA Diarah Siap Sedia, Bantu Negeri Terjejas Teruk

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar membuat tinjauan udara di kawasan dilanda banjir di sekitar Lanchang. 

M Update, 08/01/2021 – Lebih 12,000 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di setiap kontinjen negeri bersiap sedia untuk digerakkan bagi membantu operasi banjir di negeri-negeri yang terjejas teruk.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, berkata kesemua anggota PGA berkenaan akan digerakkan secara berperingkat mengikut situasi semasa banjir.

“Selain itu, anggota Pasukan Polis Marin, Pasukan Unit Udara dan Pasukan Simpanan Persekutuan juga telah dimaklumkan perkara berkenaan untuk bersiap siaga.

“Kami akan gerakkan kesemua pasukan berkenaan pada bila-bila masa dan mereka telah berada di kontinjen negeri masing-masing seperti di Pahang, Kelantan dan Johor,” katanya kepada Bernama sempena lawatan kerja beliau di Kem Galing, PGA Briged Tenggara dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini.

Selain itu, Abd Rahim berkata pihaknya sudah mengatur gerak aset-aset seperti bot dan lori di Kem Galing, PGA Briged Tenggara untuk meninjau kawasan banjir terjejas teruk.

Diminta mengulas mengenai situasi terkini banjir di Pahang, Abd Rahim berkata keadaan banjir di negeri itu telah menjejaskan keseluruhan sembilan daerah kecuali di Cameron Highlands.

“Saya diberi taklimat oleh Ketua Polis Pahang (Datuk Seri Abd Jalil Hassan) dan Ketua Polis Daerah Kuantan (ACP Mohamad Noor Yusof Ali) yang memaklumkan terdapat kira-kira 26,000 mangsa banjir sejak pagi semalam ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang.

“Ini bermakna mangsa banjir di Pahang akan terus meningkat dari semasa ke semasa dan pihak polis Pahang sedang giat memindahkan mangsa banjir ke PPS, selain memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata JKDNKA adalah jabatan yang dipertanggungjawabkan dalam operasi banjir antaranya memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat dan mencegah sebarang kecurian harta benda milik mangsa banjir sewaktu mereka meninggalkan rumah.

“Tugas JKDNKA adalah memastikan tiada kehilangan harta benda mahupun kehilangan nyawa membabitkan mangsa banjir dalam tempoh ini.

“Oleh yang demikian, saya telah mengarahkan Ketua Polis Pahang untuk menutup setiap kawasan banjir terjejas teruk dan melarang sebarang kenderaan meredah kawasan banjir yang dalam untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Abd Rahim berkata beliau berpuas hati dengan tindakan kontinjen polis Pahang yang mengatur penugasan operasi banjir dengan baik.

“Ini sekali gus dapat meningkatkan keyakinan kepada masyarakat yang berdepan dengan musibah bencana ini bahawa polis tangani banjir dengan lancar dan terkawal,” katanya.