Input your search keywords and press Enter.

TNB Pahang Tutup Sementara 82 Pencawang, Susulan Banjir Besar

M Update, 08/01/2021 – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan ke 82 pencawang elektrik di Pahang susulan banjir besar yang berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad, berkata pencawang di Temerloh paling banyak ditutup iaitu 38 diikuti Lipis (23), Jerantut (19) dan Jengka/Maran (dua).

Katanya, pencawang elektrik yang dihenti tugas atau ditutup sementara diberikan bekalan sementara melalui set jana kuasa mudah alih.

“Kita akan melakukan penyambungan semula bekalan elektrik secara kekal atau sementara hanya selepas air surut sepenuhnya di kawasan terbabit dan situasi dikenal pasti selamat.

“TNB sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan usaha memulihkan bekalan elektrik yang terputus sentiasa diberi keutamaan.

“Bagaimanapun kita perlu mengambil kira aspek keselamatan pengguna elektrik dan pekerja TNB, kita tidak boleh bertindak secara terburu-buru,” katanya selepas melawat pencawang TNB di bandar Maran, di sini semalam.

Menurutnya, pengguna di kawasan banjir dinasihati sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pencawang TNB yang beralih atau tumbang.