Input your search keywords and press Enter.

Banjir Di Terengganu Pulih Sepenuhnya

M Update, 11/01/2021 – Gelombang kelima banjir yang melanda Terengganu, pulih sepenuhnya dengan semua mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang, hari ini.

Ia susulan penutupan lapan PPS terakhir membabitkan tujuh di Dungun dan sebuah lagi di Kemaman, selepas 517 mangsa daripada 128 keluarga dibenarkan pulang secara berperingkat sejak tengah hari tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata semua PPS di daerah terbabit ditutup secara rasmi pada jam 2 petang tadi.

Ketika ini, beliau berkata, keadaan cuaca baik dengan beberapa kawasan mendung, sekali gus membayangkan gelombang kelima banjir yang melanda Terengganu sejak 3 Januari lalu, sudah berakhir.

“Bagaimanapun, kita sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa. Pengurusan bencana pada peringkat negeri dan daerah terus berada dalam keadaan berjaga-jaga serta bersiap siaga sepanjang tempoh monsun timur laut yang dijangka berlarutan hingga Mac depan.

“Amaran cuaca angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, masih berkuat kuasa hingga esok.

“Jabatan Pengairan dan Saliran turut memaklumkan bahawa kita sedang berada dalam tempoh fenomena air pasang besar bermula semalam hingga Khamis ini,” katanya.

Justeru, beliau berkata, semua penduduk khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko, dinasihatkan supaya terus berjaga-jaga, termasuk tidak menghampiri pantai sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam gelombang kelima banjir yang melanda Terengganu kali ini, hampir 14,000 mangsa terjejas dengan Kemaman merekodkan jumlah tertinggi membabitkan lebih 12,000 orang.