Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 : 6 Daerah Kelantan Kini Zon Merah

M Update, 11/01/2021 – Enam daerah di Kelantan kini berada dalam zon merah susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri itu sejak lebih seminggu lalu.

Enam daerah berkenaan adalah Kota Bharu, Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tumpat dan Bachok.

Malah, semalam kes COVID-19 di Kelantan merekodkan kes harian tertinggi sejak penularan wabak berkenaan iaitu 103 kes menjadikan kes keseluruhan sebanyak 1,298 kes.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan menerusi Facebook memaklumkan tiada lagi daerah di Kelantan berada dalam zon hijau.

Pasir Mas dan Pasir Puteh berada dalam zon jingga manakala Jeli serta Tanah Merah adalah zon kuning.

“Sebanyak 13 kluster yang dikenal pasti aktif di Kelantan iaitu Halban, Huma, Pintu Geng, Manik, Seragam Chepa, Paloh Tumpat, Belukar, Long Panji, Kaya, Alor Durian, Dataran Utas, Wakaf Lanas dan Cergas.

“Daripada semua kluster berkenaan, empat daripadanya dikategorikan sebagai merah, tiga lagi jingga dan yang selebihnya adalah kuning.

“JKNK ingin menasihati orang ramai supaya terus patuhi saranan serta nasihat yang sering ditekankan iaitu patuh prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” kata kenyataan itu.