Input your search keywords and press Enter.

Jumlah Mangsa Banjir Di Pahang Semakin Menurun

M Update, 11/01/2021 – Seramai 23,938 mangsa banjir daripada 6,456 keluarga masih berada 241 pusat penempatan sementara (PPS) di sembilan daerah di negeri ini setakat jam 9 pagi.

Jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding petang semalam yang merekodkan 24,647 daripada 6,650 keluarga.

Berdasarkan rekod, Temerloh mencatatkan jumlah paling ramai, iaitu 11,177 mangsa daripada 3,030 keluarga, diikuti Maran 3,156 (848 keluarga); Lipis 2,028 (518 keluarga) dan Pekan 2,663 (754 keluarga).

Raub pula merekodkan 1,466 mangsa daripada 398 keluarga; Jerantut 1,098 (297 keluarga); Bera 1,586 (440 keluarga) dan Kuantan 701(153 keluarga).

Laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan empat sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan.

Sungai Triang, Bera pula melepasi paras amaran manakala, Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan berada paras berjaga-jaga.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berterusan di negeri ini, iaitu Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin hingga esok.

Angin kencang timur laut pula melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan negeri ini hingga Rabu ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora berbahaya kepada semua aktiviti pantai termasuk menangkap ikan.