Input your search keywords and press Enter.

DARURAT : Penjawat Awam Perlu Fokus Jadi Pemudah Cara Rakyat & Sektor Ekonomi

M Update, 12/01/2021 – Penjawat awam diminta kekal fokus kepada tugas masing-masing dalam usaha mengekang penularan COVID-19 sepanjang tempoh darurat COVID ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat  berkata penjawat awam juga perlu melaksanakan pelbagai program pemulihan semula ekonomi negara. 

“Sektor perkhidmatan kerajaan akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh darurat ini berlangsung. Ordinan darurat ini hanya dilaksanakan untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.

“Perkhidmatan awam juga akan terus beroperasi bagi memberi khidmat kepada orang awam dan sokongan kepada sektor ekonomi. Berilah perkhidmatan terbaik dengan menjadi pemudah cara kepada rakyat yang sememangnya terkesan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan kunjungan panik ke premis kerajaan kerana operasi setiap jabatan kerajaan masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan masing-masing.

Katanya CUEPACS juga berharap semua pemimpin dan ahli politik di negara ini dapat memberikan kerjasama dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan dan  memberikan khidmat kepada rakyat yang menghadapi kesukaran dalam tempoh darurat COVID-19 ini.