Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : Laluan Tikus Sempadan Kelantan-Terengganu Dipantau

– FOTO HIASAN –

M Update, 18/01/2021 – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh bukan sahaja berjaya mengekang cubaan lolos segelintir individu merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah menangani aktiviti jenayah di laluan tikus, Kampung Golok, di sini, hari ini.

Kejayaan itu dicapai dalam operasi bersepadu Covid-19 yang dijalankan selama tiga jam sejak 10 pagi tadi di laluan tikus itu yang menghubungkan Pasir Puteh ke Kampung Beris Baru dan Kampung Lampu, Besut, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, laluan itu digunakan untuk merentas negeri Kelantan-Terengganu memandangkan laluan keluar masuk utama di Bukit Yong, Tok Bali dan pintu masuk utama sempadan dilaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) sepanjang PKP.

Katanya, hasil operasi itu, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 53 individu dan 50 kenderaan dengan mengeluarkan kompaun melanggar PKP kepada tiga individu daripada Terengganu, 21 saman kesalahan trafik seperti tidak memakai topi keledar, tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh.

“Kita juga berjaya menahan dua individu bermotosikal dipercayai penagih dadah dan membawa mereka ke balai untuk ujian air kencing.

“Selain turut merampas sebotol air ketum yang suspeknya berjaya melarikan diri selain mengarahkan empat kenderaan dari Kelantan berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran atau dokumen sah untuk meneruskan aktiviti rentas negeri,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan di sini, hari ini.

Mohd Azmir berkata, operasi itu membabitkan lima pegawai dan 20 anggota di laluan yang popular digunakan untuk laluan keluar masuk kedua negeri.

Katanya, operasi itu dijalankan pasukan khas yang ditubuhkan untuk mengekang aktiviti rentas negeri sepanjang PKP di Kelantan yang turut membabitkan dua lagi laluan tikus yang dikenalpasti iaitu di lorong Kampung Bukit Awang dan jalan pantai Kampung Pachakan.

“Seperti yang dilihat, masyarakat masih lagi tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, banyak alasan tak lojik digunakan antaranya nak keluar beli barangan keperluan harian.

“Sedangkan dalam PKP, pergerakan yang dibenarkan hanya 10 kilometer sahaja, mustahil tidak ada kedai berdekatan mereka, operasi juga kita jalankan secara bersepadu, mengekang penularan Covid-19 dan kesalahan undang-undang lain seperti kesalahan trafik dan jenayah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di laluan tikus itu mendapati laluan aktif digunakan penduduk sekitar dan pihak yang mengambil kesempatan cuba keluar masuk ke Kelantan dan Terengganu khususnya yang tidak mempunyai dokumen kebenaran merentas negeri.

Ada juga pengguna jalan raya yang masih berdegil dan membawa anak kecil untuk bersiar-siar malah membuat perjalanan melebihi 13 kilometer tanpa mengenakan pelitup muka, topi keledar dan tiada lesen memandu sah.