Input your search keywords and press Enter.

PM Umum Pakej PERMAI RM15 Bilion, Lindungi Ekonomi & Rakyat Ketika COVID-19

M Update, 18/01/2021 – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi mengurangkan beban dihadapi rakyat dan ketahanan ekonomi ketika negara sedang berdepan penularan pandemik COVID-19.

Muhyiddin berkata pakej bantuan PERMAI yang memperuntukkan sejumlah RM15 bilion, antara lain mempunyai 22 inisiatif bermatlamat untuk memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

“Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya dalam pengumuman khas pakej bantuan PERMAI yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial.

Muhyiddin berkata di bawah matlamat memerangi wabak COVID-19, kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara serta agensi lain.

Perdana menteri berkata penyediaan peruntukan itu menumpukan kepada bekalan, antaranya tambahan reagen dan kit saringan serta peralatan perlindungan diri (PPE) terutamanya kepada petugas kesihatan.

Di bawah matlamat ini juga, beliau berkata perancangan program vaksinasi negara adalah ‘on-track’ dengan kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin dan bekalan vaksin pertama dijangka diterima negara pada penghujung Februari.

“Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama melibatkan dana sebanyak RM3 bilion untuk tujuan ini,” katanya.

Muhyiddin menegaskan garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu yang perlu menerima vaksin akan dihebahkan dan program vaksinasi tersebut dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.