Input your search keywords and press Enter.

Dr Ali Meninggal Dunia Akibat Pendarahan Dalam Otak

M Update, 21/01/2021 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia disebabkan pendarahan dalam otak dan bukan akibat terlampau penat dengan beban tugas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, arwah yang bertugas di sebuah klinik kesihatan di Cheras mengalami penyakit ‘aneurysm’ dalam otak dan disahkan meninggal dunia pada 18 Januari lalu.

“Beliau dikesan mempunyai penyakit lain dan tiada kaitan dengan kelesuan bekerja. Ujian Covid-19 adalah negatif,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham melalui Facebook rasminya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Ali atas pemergian arwah.

“Allahyarham Dr Ali pulang ke pangkuan Ilahi lewat malam 18 Januari 2021.

“Beliau adalah seorang pegawai perubatan KKM yang amat disenangi rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, arwah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember lalu disebabkan penyakit lain dan menjalani beberapa sesi rawatan.

“Bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga arwah, KKM memohon supaya mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau.

“Marilah kita sama-sama memanjatkan doa dan peringatan buat arwah Dr Ali Noor. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Sementara itu, salah seorang dipercayai waris kepada mangsa melalui Facebook yang tular mengesahkan arwah meninggal dunia akibat terjatuh di bilik air ketika bekerja dan mengakibatkan pendarahan di kepala serta beberapa kali sudah dibedah.

“Arwah adalah anak saudara saya dan meninggal dunia akibat jatuh bilik air. Mohon perbetulkan fakta,” katanya merujuk kepada tular mengenai berita pemergian Dr Ali akibat kepenatan bekerja.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia.

Berita sedih itu disampaikan menerusi hantaran dimuat naik Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di Facebook (FB).

Dalam hantaran itu, SPJM berkongsi gambar terakhir Dr Ali yang sempat diambil rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat selepas bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19.

Difahamkan beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan.