Input your search keywords and press Enter.

Lapan Peruncit Sorok Minyak Masak Kena Notis

M Update, 20/01/2021 – Lapan peruncit sekitar bandar raya ini diberikan Notis Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, kerana disyaki menyorok bekalan minyak masak bersubsidi pek polibeg sekilogram (kg), sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata notis itu diberikan bagi mendapatkan maklumat serta penjelasan berhubung elemen pencatutan terhadap barang keperluan itu.

Katanya, notis itu dikeluarkan selepas KPDNHEP Johor mengadakan operasi bersepadu selama dua jam di sekitar Kulai dan Kempas di sini, selepas laporan bekalan minyak masak bersubsidi pek polibeg satu kilogram yang terputus bekalan sejak dua minggu lalu di bandar raya ini disiarkan NSTP.

“Sejak 1 Januari sehingga hari ini, KPDNHEP Johor sudah memeriksa sebanyak 780 premis membabitkan 687 peruncit, 75 pemborong dan 18 pengilang di seluruh negeri.

“Kami turut mempertingkatkan pemantauan sebaik laporan minyak masak paket terputus bekalan selain harga minyak botol naik mendadak sejak kelmarin.

“Hasilnya, lapan peruncit diberikan Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, kerana dipercayai mereka terbabit menyorok minyak paket dan mendakwa kehabisan stok, padahal bekalan masih ada tetapi disembunyikan.

“Hasil siasatan awal, mendapati tindakan peruncit menyorok bekalan mereka kerana enggan menjual minyak paket disebabkan margin keuntungan yang rendah berbanding minyak botol.

“KPDNHEP Johor juga sedang menyiasat punca harga minyak botol yang mendadak naik sehingga menimbulkan keluhan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi bersepadu KPDNHEP Johor memeriksa bekalan minyak masak di Kempas, hari ini.

Pagi tadi, KPDNHEP Johor memeriksa rantaian bekalan minyak masak bersubsidi pek polibeg satu kg di negeri ini, selepas didakwa habis di pasaran sejak dua minggu lalu.

Mohd Hairul Anuar berkata, pemeriksaan sedang dilakukan dari peringkat pengeluar atau pengilang, pemborong sehinggalah ke peruncit.

Kelmarin, NSTP melaporkan bekalan minyak masak paket satu kg di sekitar bandar raya ini dilaporkan kehabisan sejak dua minggu lalu, sekali gus menyebabkan pengguna resah.

Tinjauan dilakukan di beberapa pasar, pasar mini dan kedai serbaneka di Tampoi, Skudai dan Taman Perling, di sini, semalam mendapati kebanyakan kedai sudah keputusan bekalan minyak masak paket dan mendakwa tidak lagi mendapat bekalan daripada pembekal.

Mengulas lanjut, Mohd Hairul Anuar, berkata, KPDNHEP akan meningkatkan pemantauan terhadap bekalan minyak masak selain barang keperluan lain supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan.

“Pemeriksaan di peringkat pengilang minyak masak yang dilakukan mendapati stok minyak masak bersubsidi polibeg satu kilogram terus diproses dan dikeluarkan seperti biasa.

“KPDNHEP Johor memberi amaran sebarang tindakan pencatutan termasuk menyorok bekalan dan enggan menjualnya kepada pengguna akan diheret ke mahkamah dan berdepan hukuman berat,” katanya.