Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: Kerjasama Hospital Kerajaan & Swasta Rawat Pesakit Langkah Tepat

M Update, 21/01/21 – Peruntukan RM100 juta bagi meningkatkan kerjasama kerajaan dengan hospital swasta seperti diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), adalah langkah tepat bagi menangani risiko kegagalan sistemik sektor kesihatan awam.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh, berkata perkhidmatan rawatan kepada pesakit COVID-19 memerlukan kepakaran dan cara pengurusan tersendiri.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan jangkitan wabak berkenaan berupaya dibendung daripada menular, manakala pesakit diberikan rawatan dan penjagaan kesihatan yang rapi.

Beliau berkata, proses berkenaan memerlukan masa seperti diakui pakar dari Wuhan, China yang datang ke Malaysia bagi membantu sektor perkhidmatan kesihatan awam negara ini merawat pesakit COVID-19.

“Justeru, hospital swasta juga memerlukan pengalaman dan waktu untuk mempelajari kaedah serta corak pengurusan pesakit COVID-19 yang sebelum ini kita tidak pernah dapat peluang.

“Berbeza dengan hospital kerajaan yang berpengalaman luas dalam merawat pesakit COVID-19 sejak wabak ini menyusup masuk ke Malaysia. Justeru pemindahan kepakaran dan pengalaman memerlukan masa.

“Jalan terbaik dan paling cepat bagi merungkai risiko kegagalan sistemik ialah hospital swasta akan merawat pesakit bukan COVID-19 dari hospital kerajaan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan pakej bantuan PERMAI, dilaporkan berkata hospital swasta bersetuju menerima dan merawat kedua-dua pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam.

Serentak itu, kerajaan menerusi pakej terbaharu itu memperuntukkan dana khas RM100 juta bagi meningkatkan kerjasama dengan hospital swasta dalam membendung wabak COVID-19.

Dr Kuljit berkata, pertukaran pesakit bukan COVID-19 dari hospital kerajaan ke hospital swasta berupaya meringankan bebanan sektor kesihatan awam yang ketika ini semakin meruncing, susulan peningkatan kes jangkitan wabak berkenaan saban hari.

“Jadi, ini mungkin sebagai langkah permulaan sebelum kita mempunyai keupayaan untuk mengendalikan pengurusan pesakit COVID-19. Pada masa sama, ia tidak bermaksud kita tidak menerima orang ramai yang perlukan rawatan di hospital swasta selepas dijangkiti COVID-19.

“Mereka masih akan dirawat dan dijaga terlebih dahulu, sebelum mungkin dipindahkan ke hospital kerajaan selepas membuat pertukaran dengan pesakit bukan COVID-19 untuk ditempatkan di hospital swasta.

“Selain itu, APHM buat masa ini masih menunggu kriteria pembayaran yang akan diperincikan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.