Input your search keywords and press Enter.

PKP 2.0 : Tukar Lokasi Sekatan Jalan Raya Elak Individu Ambil Kesempatan

M Update, 22/01/2021 – Sekatan jalan raya di daerah ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin akan bertukar ke lokasi lain bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan merentas negeri tanpa kebenaran polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ia antara strategi mengelak orang ramai cuba menggunakan laluan lain bagi mengelak sekatan jalan raya.

Beliau berkata, sekiranya ada keperluan untuk berpindah lokasi, ia akan dilakukan.

Katanya, pihaknya tidak akan menerima sebarang alasan tidak munasabah dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar PKP.

Sebanyak tujuh sekatan jalan raya dilaksanakan di Kuala Muda untuk mengelakkan ada individu yang cuba keluar masuk merentas negeri tanpa kebenaran.

“Kita turut menutup laluan Jambatan Semeling bagi mengelakkan ada yang bergerak lebih dari radius 10 kilometer dari tempat tinggal mereka.

“Berdasarkan pengalaman PKP lalu, ada yang beri pelbagai alasan termasuklah hendak mencari ikan segar di Tanjung Dawai sedangkan kita ada 10 pasar awam di daerah ini.

“Kita kena ingat, Kuala Muda adalah antara kawasan zon merah selain Kota Setar dan Kulim… maka yang tidak mempunyai urusan penting, kita nasihatkan jangan keluar rumah bagi mengelak kes bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pemeriksaan sekatan jalan rata di Bedong, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalannya, Superintendan Anuar Abd Rahman @Abd Rahim dan Pegawai Memerintah Rejimen Ke 52 Artileri Diraja Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Leftenan Kolonel Muhammad Tajuki Jusoh.

Adzli berkata, seramai 190 anggota pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbabit dalam sekatan jalan raya dan pemantauan COVID-19 kali ini.