Input your search keywords and press Enter.

Polis & TNB Potong Bekalan Elektrik 12 Premis, Anjur Judi Dalam Talian

M Update, 25/01/2021 – Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik 12 premis di sekitar Ampang Jaya yang dikenal pasti menjalankan kegiatan judi dalam talian menerusi satu operasi pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata operasi bermula pukul 10 pagi itu disertai 30 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya serta TNB. 

Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 38 (1A) Akta Bekalan Elektrik 1990 pindaan 2001.

“Bermula tahun 2020 hingga sekarang, lebih 30 premis telah dilakukan pemotongan elektrik kerana menjalankan aktiviti judi dalam talian di kawasan pentadbiran IPD Ampang Jaya.

“Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai aktiviti judi dalam talian, bolehlah menyalurkan maklumat tersebut kepada polis dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan.