Input your search keywords and press Enter.

KPT Komited Pastikan Pelajar IPT Dapat Capaian Internet

Akses kepada capaian internet sangat kritikal bagi membolehkan pelajarinstitusi pengajian tinggi (IPT) menjalani sesi PdP secara dalam talian dengan kondusif.

M Update, 26/01/2021 – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited dalam memastikan semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mampu mendapatkan capaian internet walau di mana sahaja mereka berada.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata adalah penting bagi kementerian itu menjayakan aspek ekuiti apabila semua pelajar mendapat hak pendidikan yang setara tanpa jurang antara bandar mahupun luar bandar.

Beliau berkata, akses kepada capaian internet sangat kritikal bagi membolehkan pelajar menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan kondusif.

“Tidak dinafikan, pelajar perlu menanggung kos yang tinggi bagi melanggani pakej pelan data untuk capaian internet itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Noraini berkata, sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 195,028 pelan data dan 3,773 peranti sudah diedarkan kepada pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kategori B40 bersasar sejak Pakej Pelan Data dan Peranti dilancarkan pada 30 Oktober 2020.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 3,997 komputer riba dan komputer meja lagi sedang dalam proses perolehan oleh kementerian itu untuk diedarkan kepada pelajar terbabit.

Beliau berkata, KPT turut mendapatkan tawaran terbaik daripada syarikat pembekal pelan data dan peranti seperti Celcom, Maxis, Digi dan UNIFI serta Acer Student Purchase Program- MOHE, Samsung Education Store dan Education AOS Store Home.

“KPT juga sudah mengadakan perbincangan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk satu lagi inisiatif pinjaman kewangan bawah Skim BSN MyRinggit-i COMSIS bagi pembelian komputer riba oleh pelajar IPT.

“KPT melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sudah melancarkan satu inisiatif ‘crowdfunding’ melalui Tabung Prihatin Siswa sebagai satu platform bagi mempelawa pihak luar bersama-sama dengan KPT dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan

aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) tanpa kekangan,” katanya.

Justeru, katanya pihak yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh berbuat demikian melalui akaun

Maybank 5660 1062 2566 atau melalui dalam talian dengan klik pautan di www.billplz.com/tabungsiswa