Input your search keywords and press Enter.

‘Iron Man’ Buat Kerja Amal, Bantu Mangsa Banjir Di Temerloh

Kehadiran Mohd Faizal berpakaian lengkap Iron Man ketika mengedarkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kuala Krau menarik perhatian penduduk.

M Update, 27/01/2021 – Kehadiran Mohd Faizal Muda, 36, berpakaian sut lengkap Iron Man ketika membantu mengedarkan barangan keperluan mangsa banjir di Taman Desa, Kuala Krau, berjaya menghiburkan penduduk dan kanak-kanak di situ.

Mohd Faizal yang menyertai misi sukarelawan membantu mangsa bencana itu berkata, kehadirannya berpakaian watak adiwira kegemaran kanak-kanak itu sekurang-kurangnya dapat menceriakan

mereka yang masih terkesan dengan banjir hingga memusnahkan harta benda.

Katanya, beliau sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit untuk mengumpul barangan bertemakan adiwira itu yang kemudian digunakan pada majlis tertentu.

“Saya sering menggunakan pakaian, beg, kasut, topi keledar, jam tangan, cermin mata, tali pinggang, sarung telefon pintar dan cadar bertemakan Iron Man sehingga digelar Iron Man Temerloh.

“Koleksi pertama saya iaitu topi keledar dibeli RM800 dan sejak 2008, saya sudah membelanjakan lebih RM30,000 termasuk membeli sut adiwira ini daripada syarikat di United Kingdom,” katanya.

Mohd Faizal yang juga Pegawai Unit Pendidikan Pesakit Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Pahang itu berkata, dia turut memiliki dua lagi sut Iron Man yang ditempah khas dari Filipina dan di negara ini, masing-masing berharga RM4,500 dan RM5,000.

“Sebenarnya, bukan mudah untuk menarik kanak-kanak datang ke hospital mendapatkan rawatan kerana mereka takut bertemu doktor, terutama apabila melihat jarum suntikan.

“Susulan itu, saya mencipta kreativiti sendiri dengan memakai kostum lengkap adiwira, Iron Man sambil menanti pesakit pediatrik di lobi hospital itu,” katanya.

Mohd Faizal berkata, minatnya itu menyebabkannya menerima banyak jemputan menghiburkan kanak-kanak di hospital dan sekolah, selain menyertai kempen derma darah serta majlis amal.