Input your search keywords and press Enter.

BPN 2.0 Ringankan Beban Rakyat

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

M Update, 04/02/2021 – Kalangan penerima Bantuan Prihatin Nasional Fasa Kedua (BPN 2.0) bersyukur dengan bantuan disalurkan kerajaan, terutama ketika dalam tempoh sukar sekarang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan punca pendapatan mereka.

Sejak 21 Januari lalu bayaran dana berjumlah RM2.38 bilion sudah dikreditkan ke akaun 10.2 juta penerima sedia ada, yang mana suntikan dana berkenaan akan membantu memberi kelegaan kewangan golongan terjejas. Mulai 25 Januari lalu pula, kira-kira 750,000 penerima tanpa akaun bank mula menerima BPN 2.0 dari cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung.

Langkah kerajaan mempercepatkan pembayaran BPN 2.0 itu sudah tentu membantu memperbaiki aliran tunai keseluruhan 11.06 juta penerima daripada kalangan bujang dan berkeluarga B40 dan M40.

Gerak kerja mempercepatkan bayaran bantuan ini sejajar matlamat Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion diumum 18 Januari lalu.

Penerima BPN 2.0 fasa dua, Lau Kui Yong, 38, sangat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap golongan terjejas sepertinya. Ibu kepada dua anak itu menggunakan bantuan BPN 2.0 bagi menampung keperluan harian terutama barangan dapur selain susu tepung anak berikutan pendapatan keluarganya terjejas selepas PKP berkuat kuasa.

“Pendapatan suami yang bekerja di kilang besi terjejas teruk terutama ketika PKP pada tahun lalu. Walaupun suami tak kena pecat, gaji bulanan ditukar menjadi kiraan harian. Maksudnya, suami akan dibayar gaji bila kerja. Kalau tak kerja tak ada gaji,” katanya.

Bagi Suzana Safie, 38, ibu kepada lima anak mengakui pelaksanaan PKP memberi kesan kepada pendapatan keluarga kerana suami hanya dibayar gaji sebagai juruteknik apabila dipanggil bekerja. Justeru, Suzana sangat bersyukur bantuan BPN dapat menampung gajinya sebagai pembantu tadbir untuk menyedia belanja persekolahan tiga anaknya.

“Selain membeli keperluan harian dan sekolah, BPN yang diterima juga saya guna untuk membeli telefon terpakai bagi persediaan PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) agar anak tidak ketinggalan.

“Apa pun, kami sekeluarga sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sangat prihatin kepada rakyat di saat golongan seperti kami memerlukan bantuan dan sumbangan bagi menampung keperluan harian,” katanya.

Mohamad Faiz Zakaria, 30, pula berkata, beliau bersyukur dengan BPN diterima yang digunakan untuk menjelaskan bayaran bil dan sewa rumah tertunggak.

Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak kecil, wang BPN pertama diterima menggunakan untuk membayar bil elektrik dan air tertunggak kerana tiada pendapatan.

“Sangat terjejas sebab kebanyakan bil saya yang bayar. Dengan pendapatan yang tak seberapa, ia juga diguna untuk membeli keperluan bayi dan membayar sewa rumah. Isteri hanya bekerja sebagai kerani.

“Alhamdulillah, dengan BPN yang saya terima dapat saya gunakan untuk jelaskan bayaran tertunggak,” katanya.

Sementara itu di Kuala Terengganu, seorang graduan diploma multimedia yang hilang pekerjaan, menggunakan wang BPN 2.0 sebagai modal tambahan dalam perniagaan menjual lempeng kelapa secara dalam talian.

Angah Safaruddin, 31, dari Kampung Masjid Haji Kadir di sini berkata, walaupun hanya menerima bantuan berjumlah RM350 bagi kategori bujang B40 pusingan pertama, bantuan itu amat bernilai dalam usahanya memenuhi tempahan pembeli.

“Permintaan lempeng kelapa dan bihun goreng dalam talian meningkat selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berikutan penularan COVID-19.

“Saya berterima kasih atas keprihatinan kerajaan memperkenalkan BPN untuk membantu rakyat yang terkesan berikutan pelaksanaan PKP,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Angah yang terpaksa berhenti kerja selepas majikan terpaksa mengurangkan pekerja susulan pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu, mengambil keputusan berniaga menjual lempeng kelapa dan bihun goreng.

Sementara itu, pekerja kedai kasut, Wan Iskandar Wan Mamat, 41, dari FELDA Tengkawan, Kuala Berang berkata, beliau akan menggunakan sepenuhnya wang itu untuk membeli barangan keperluan harian.

Katanya, bantuan BPN sebanyak RM1,000 itu sangat bermakna buatnya bagi meneruskan kelangsungan hidup, selepas diarahkan bekerja secara bergilir dua minggu sebulan berikutan pelaksanaan PKP.

“Bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan beban untuk membeli barang dapur,” katanya.