Input your search keywords and press Enter.

Negeri Sembilan Kecualikan Sewa Gerai Dua Bulan Untuk Peniaga

M Update, 04/02/2021 – Kerajaan Negeri Sembilan hari ini memutuskan untuk memberikan pengecualian bayaran sewa gerai selama dua bulan bermula Januari bagi meringankan beban kewangan peniaga.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pengecualian berkenaan yang memanfaatkan seramai 4,165 peniaga di tujuh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, membabitkan peruntukan hampir RM1 juta.

“Keputusan ini adalah bagi membantu mereka (peniaga) yang terkesan berikutan pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 3,600 unit peranti tablet akan diedarkan kepada pelajar yang memerlukan di negeri ini bagi membolehkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan ketika ini.

Beliau berkata pemberian peranti berkenaan kepada kesemua 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap DUN dibekalkan 100 unit tablet, menggunakan peruntukan daripada Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah dan Tabung Bina Insan yang kesemuanya berjumlah RM2 juta.

Kerajaan negeri juga turut mencadangkan penganjuran solat hajat di semua masjid pada Jumaat ini memohon penyelesaian segera COVID-19 yang sedang melanda negara ini.