Input your search keywords and press Enter.

Tiada Bayaran Dikenakan Untuk Pengurusan Jenazah COVID-19 Di Sabah

M Update, 9/2/2021 – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan semua hospital kerajaan di negeri itu tidak mengenakan sebarang bayaran bagi pengurusan jenazah COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau mengulas dakwaan yang tular di laman Facebook bahawa ahli keluarga pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Sabah perlu membayar RM6,000 untuk urusan penghantaran jenazah ke kampung halaman.

Bagaimanapun, beliau yang juga jurucakap COVID-19 kerajaan negeri, berkata ahli keluarga boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan syarikat pengurusan jenazah bertauliah melibatkan bayaran tertentu dengan proses pengurusan jenazah itu dikawal selia oleh pegawai JKNS.

Ini terpulang sepenuhnya kepada ahli keluarga terlibat. Oleh itu, saya memohon supaya mana-mana pihak tidak mengambil atau memanipulasi kesempatan yang ada untuk memperoleh keuntungan daripada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga.