Input your search keywords and press Enter.

NPRA Luluskan Vaksin COVID-19 Yang Selamat

M Update, 11/2/2021 – Menganalisis data untuk memilih vaksin COVID-19 yang terbaik dan tepat untuk rakyat Malaysia sangat penting untuk memastikan rakyat yakin terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin.

Atas sebab itu, Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam menegaskan apa saja vaksin diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), adalah selamat digunakan di negara ini.

“Orang ramai perlu tahu ia lebih rumit (untuk memahami keberkesanan vaksin) daripada hanya (melihat) kepada angka. Inilah sebabnya NPRA akan menganalisis semua data klinikal, dengan protokol berbeza dan akan memutuskan adakah vaksin itu selamat dan berkesan untuk digunakan di Malaysia.

“NPRA bekerja siang dan malam menganalisis semua data ini. Ini bukan proses yang mudah, maka kita harus memberi mereka masa untuk memastikan apa sahaja (vaksin) yang mereka luluskan adalah terbaik untuk kita.

“Pada masa ini, NPRA memberikan persetujuan bersyarat kepada vaksin Pfizer. Sekiranya mereka meluluskan vaksin lain dan saya ditawarkan untuk mengambil vaksin, saya dengan senang hati melakukannya,” katanya.

Dr Mohd Ghows berkata, disebabkan pandemik COVID-19, teknologi RNA (mRNA) messenger, yang wujud beberapa tahun lepas, kini digunakan untuk pembangunan vaksin dan ia terbukti selamat dan berkesan.

Merujuk kepada vaksin Pfizer dan Moderna yang menggunakan teknologi mRNA serta mencapai kadar keberkesanan tinggi pada tahap lebih 95 peratus, beliau berkata, teknologi itu jauh lebih mudah dan cepat untuk dibuat (turutan), sambil menambah bagi jangka masa panjang, vaksin itu berkemungkinan lebih murah dihasilkan melalui kaedah mRNA.

“Satu perkara yang sebenarnya dilakukan COVID-19 ini adalah, ia merevolusikan teknologi mRNA kerana sebelum ini masyarakat meragui mRNA, namun beberapa vaksin pertama dikeluarkan adalah daripada vaksin mRNA, yang menunjukkan keberkesanan sangat tinggi iaitu Pfizer dan Moderna.

“Sebagai contoh, vaksin baharu mRNA dapat dihasilkan dalam masa kira-kira enam minggu. Begitulah cepatnya kita dapat mengubah turutan mRNA mengikut kepelbagaian varian.

“mRNA bersifat sintetik, maka kita boleh menganalisis turutan dan membuat yang baharu berdasarkan varian yang kita mahukan. Selepas COVID-19, banyak vaksin akan menggunakan mRNA kerana ia cepat, murah dan sangat selamat. Itu adalah kriteria utamanya,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Ghows menasihati orang ramai untuk sentiasa mencari sumber yang tepat dan memeriksa fakta berkaitan dengan sebarang maklumat mengenai vaksin COVID-19 seperti laman web Kementerian Kesihatan dan akaun media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Berdasarkan statistik, beliau berkata terdapat 138 juta dos vaksin diberikan di lebih 70 negara di seluruh dunia, tanpa sebarang laporan kematian dikaitkan secara langsung dengan vaksin COVID-19.

Beliau bagaimanapun berkata, ada individu mengalami reaksi alahan selepas disuntik dengan jumlah kes yang rendah dilaporkan.

“Maka, bagi mereka yang mengalami alahan teruk, mereka harus memberitahu doktor mengenainya. Untuk mengatasi masalah ini, kami tahu ada individu yang mempunyai reaksi alahan terhadap vaksin, maka selepas mendapat vaksin anda harus menunggu antara 15 hingga 30 minit sebelum pulang, kerana kita mahu doktor memantau sebarang reaksi, (bagaimanapun) kesnya sangat rendah.

“Saya belum pernah mendengar orang berubah menjadi ‘zombi’ atau mereka tumbuh sepasang sayap selepas diberi vaksin. Tidak ada bukti kematian itu secara langsung disebabkan vaksin COVID-19,” katanya sambil menambah bahawa mendapatkan vaksin sangat penting untuk melindungi bukan hanya seorang individu, tetapi masyarakat secara keseluruhan.

“Semakin lama pandemik COVID-19 berlarutan, semakin banyak jenis virus akan wujud kerana ia secara semula jadinya akan bermutasi,” katanya.

“Kita perlu menggunakan vaksin untuk melindungi masyarakat sebaik mungkin. Inilah sebabnya mengapa slogan kami adalah ‘lindungi diri, lindungi semua’. Jika anda ditawarkan vaksin, sila ambil. Ia bukan hanya untuk melindungi anda, tetapi juga melindungi semua orang.

“Orang ramai perlu mendapatkan fakta yang sebenar. Contohnya, dapatkan maklumat tepat dengan melayari laman web Kementerian Kesihatan untuk melihat fakta terkini. Jauhi kumpulan anti vaksin atau mereka yang menghasut bertujuan menakut-nakutkan mengenai virus dan vaksin,” katanya. – BERNAMA