Input your search keywords and press Enter.

Sabah Benar Solat Jumaat Ikut Satu Pertiga Kapasiti

M Update, 19/2/2021 – Sabah membenarkan bilangan jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau diperluaskan kepada satu pertiga daripada ruang solat bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kebenaran itu diberikan selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selaras dengan pelaksanaan PKPB yang berkuat kuasa pada 19 Februari (hari ini), kerajaan negeri bersetuju membenarkan solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat di masjid dan surau dalam semua zon di Sabah.

“Kebenaran tertakluk kepada satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.”

Awal bulan ini, kerajaan negeri membenarkan masjid dan surau di seluruh Sabah dibuka semula untuk solat waktu berjemaah dan solat Jumaat, tetapi masing-masing terhad kepada lima dan 45 jemaah.

Selain membenarkan kapasiti jemaah yang lebih ramai, kerajaan negeri turut bersetuju membenarkan aktiviti di masjid dan surau seperti kuliah Maghrib dan dhuha dalam tempoh tidak melebihi satu jam setiap sesi.

Aktiviti kelas agama juga dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi tempoh lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Majlis akad nikah juga dibenarkan dalam dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang dalam satu masa dengan menjaga disiplin dan mematuhi SOP, manakala jamuan makan dan minum dibenarkan dalam bentuk bungkusan.

Bagaimanapun, katanya, kehadiran ke masjid dan surau bagi golongan kanak-kanak masih dihadkan kepada yang berusia 10 tahun ke atas.