Input your search keywords and press Enter.

Tiger Woods Kemalangan, Cedera Parah

M Update, 24/2/2021 – Pemain golf Amerika Syarikat, Tiger Woods dimasukkan ke hospital hari ini selepas terbabit dalam kemalangan kereta yang dilaporkan mengalami “kerosakan teruk,” kata Jabatan Polis Los Angeles.

Tiger Woods mengalami kecederaan serius pada kedua-dua belah kakinya ketika kenderaan dipandunya terbabas dan bergolek beberapa kali dekat Los Angeles dengan dia dikatakan “sangat bernasib baik” selamat, kata pegawai yang menemui legenda golf Amerika Syarikat itu.

Woods tampak tidak berada dalam pengaruh dadah atau alkohol ketika kemalangan pada awal pagi itu dan dia menjalani pembedahan selepas kemalangan itu, kata Los Angeles County Sheriff, Alex Villanueva.

Tiada kenderaan lain atau penumpang terbabit dalam kemalangan itu yang berlaku di selekoh tajam yang menjadi “hotspot” kemalangan membabitkan kelajuan sejak beberapa tahun lalu.

“Saya boleh katakan adalah sangat bernasib baik Mr Woods boleh hidup selepas kemalangan itu,” kata Carlos Gonzalez, pegawai pertama menemuinya di lokasi kejadian.

Gonzalez menemui Woods terperangkap dalam kenderaannya tetapi masih sedar dan kelihatan tenang serta mampu memperkenalkan dirinya.

“Difahamkan dia mengalami kecederaan serius di kedua-dua belah kaki,” kata Ketua Bomba Los Angeles County, Daryl Osby sambil menggambarkan keadaan Woods sebagai “stabil.”

Woods, seorang daripada pemain gol paling berjaya di dunia, menang 15 kejuaraan golf major. – BH Online