Input your search keywords and press Enter.

Kawalan Ketat Sambut Ketibaan Vaksin Sinovac

M Update, 26/02/2021 – Kawalan ketat akan dilaksanakan untuk jaminan keselamatan apabila vaksin Sinovac Covid-19 ditempatkan di daerah Serdang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, esok.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai ketibaan vaksin berkenaan untuk ditempatkan di daerah terbabit, semalam.

“Saya difahamkan sejumlah vaksin akan tiba di KLIA pada 9 pagi esok dan kami diarahkan untuk menjaga tempat penyimpanan vaksin berkenaan yang terletak dalam kawasan pentadbiran IPD Serdang.

Justeru, kami akan menempatkan sejumlah pegawai dan anggota yang dikhaskan bertugas bagi mengawal lokasi berkenaan. Ini termasuk mengelakkan ada pihak luar yang tiada akses untuk masuk ke lokasi berkenaan sekali gus mengelak insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyampaian baucer kepada 250 anak anggota polis untuk membeli kelengkapan sekolah di Pusat Pakaian Hari-Hari di Taman Seri Serdang, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Pusat Pakaian Hari Hari Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim.

Razali berkata, pegawai dan anggota yang bertugas akan melakukan kawalan serta rondaan 24 jam setiap hari sebaik vaksin berkenaan tiba di lokasi terbabit.

“Pegawai dan anggota yang bertugas akan bersedia seawal 9.30 pagi esok bagi melakukan kawalan sebaik vaksin berkenaan tiba di lokasi. Kawalan dan rondaan yang dilakukan di lokasi berkenan turut membabitkan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya.

Menurutnya, beliau sudah meninjau lokasi terbabit dan berbincang dengan syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan penerimaan dan penyimpanan vaksin berkenaan, pagi tadi. – HM Online