Input your search keywords and press Enter.

KWSP : Permohonan i-Sinar Sebelum 25 Februari, Bayaran Mulai Hari Ini

M Update, 02/03/2021 – Permohonan kemudahan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuat sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran akan dibuat mulai, hari ini.

Perkara itu turut membabitkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan dan yang berstatus tidak lulus, sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dilaksanakan.

KWSP dalam satu kenyataan, meminta pemohon bersabar kerana proses meluluskan permohonan itu sedang berjalan.

“Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya,” menurut kenyataan itu.

Pada 11 Februari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan sebagai berkata, KWSP dalam proses memansuhkan syarat permohonan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemansuhan syarat i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki.

Sementara itu, permohonan baharu kemudahan i-Sinar tanpa syarat akan dibuka mulai 8 Mac ini bagi semua ahli di bawah umur 55 tahun, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1 ahli. Perkara itu turut membabitkan ahli KWSP bukan warganegara Malaysia.

Permohonan baharu ini akan diproses dalam tempoh lima (5) hari bekerja dan selepas tempoh itu, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

Bermula 8 Mac juga, ahli akan diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online.

Jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Bagi ahli berumur 55 tahun dan ke atas, pencarum boleh mengeluarkan apa-apa amaun di bawah pengeluaran umur 55 Tahun.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 – 8922 4848 dan bagi pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun melayari laman web www.kwsp.gov.my. – BH Online