Input your search keywords and press Enter.

Tutup Sempadan Untuk Lindungi Nyawa Rakyat – Ismail Sabri

M Update, 02/03/2021 – Pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 serta pengenalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada Mac tahun lalu, bertujuan melindungi nyawa rakyat daripada dijangkiti Covid-19.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan melaksanakan PKP 1.0 itu juga dibuat ketika belum ada negara lain boleh dijadikan panduan kerana negara lain juga bergelut dengan penularan pandemik itu.

Beliau berkata, ketika itu juga, belum sampai dua minggu barisan Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk dirinya mula bertugas di kementerian masing-masing, apabila Perdana Menteri mengumumkan PKP pada 16 Mac dan ia dilaksanakan pada 18 Mac.

“Apa yang kita lakukan adalah acuan kita sendiri. Alhamdulillah kita lihat, kita memperolehi kejayaan. Memang benar saya jadi ‘bad boy’ lah kerana saya yang terpaksa menutup (sempadan). Saya yang terpaksa memperkenalkan SOP ketat dan sebagainya.

“Tetapi ia adalah antara nyawa dan kehidupan. Bagi kita nyawa rakyat amat penting dan kerajaan mesti melindungi nyawa rakyat. Sebab itulah kita memperkenalkan PKP 1.0 yang sangat ketat sehingga tidak ada pergerakan langsung, semua hanya duduk di rumah.”

Beliau berkata, apabila keadaan semakin baik, kerajaan memperkenalkan pula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan beberapa sektor ekonomi mula dibuka manakala apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan, lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan.

Beliau berkata, kerajaan masih memastikan SOP diperkenalkan pada PKP dipatuhi dan sekatan jalan raya serta kawalan sempadan masih dilaksanakan untuk mengawal kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk memperkasakan Ops Benteng. – HM Online